Peruntukan sebanyak RM1.3 juta telah diluluskan kerajaan bagi membaiki cerun yang runtuh di Kilometer 2.1 jalan utama menuju pusat bandar Sandakan.

Cerun runtuh di KM 2.1 Sandakan akan dibaiki bulan depan

ByTVS

SANDAKAN, 15 Jun : Peruntukan sebanyak RM1.3 juta telah diluluskan kerajaan bagi membaiki cerun yang runtuh di Kilometer 2.1 jalan utama menuju pusat bandar Sandakan.

Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kerja-kerja membaiki akan dimulakan bulan depan selepas cerun itu runtuh lebih enam bulan lalu ekoran faktor cuaca yang tidak menentu.

“Kita perlu baiki segara cerun yang runtuh ini kerana ia merupakan laluan utama pengguna jalan raya untuk ke pusat bandar selain ke sekolah yang berhampiran.

“Ia juga bagi mengelak runtuhan lebih besar akan berlaku sekaligus menjejaskan aspek keselamatan pengguna jalan raya,” katanya selepas meninjau keadaan insfrastruktur asas di sekitar Bandar Sandakan.

Dalam tinjauan itu, beliau turut meninjau cerun runtuh berhampiran Taman Vun Wu, jambatan roboh di Kampung Sim-Sim dan tiang lampu tumbang di Jalan Batu 5.

Bagi cerun yang runtuh berhampian Taman Vun Wu, Bung telah mengarahkan jurutera daerah Sandakan untuk mengemukakan cadangan dan anggaran kos peruntukan yang diperlukan untuk membaiki cerun tersebut.

Arahan sama turut dikeluarkan kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi menyelesaikan isu sebahagian Jambatan 10 yang roboh baru-baru ini.

“Sebaik sahaja cadangan dan anggaran kos peruntukan dikemukakan, kita akan majukannya untuk memohon peruntukan dari kerajaan negeri atau pusat,” katanya.

Mengenai rungutan orang ramai berhubung lampu jalan rosak dan tumbang di beberapa lokasi sekitar Sandakan, Bung turut meminta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta MPS untuk meneliti masalah itu dan mengemukakan cadangan bagi menukar lampu dan tiang yang rosak.

“Saya fikir elok kita gantikan lampu yang sedia ada dengan lampu LED atau tenaga solar yang tahan lebih lama berbanding lampu yang digunakan ketika ini,” katanya.

Turut serta dalam tinjaun itu ialah Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Presiden MPS, Benedict Asmat. –TVS

Berita Berkaitan