Ongkili, pasukan ke London kaji dokumen MA63 di arkib negara

Spread the love

KOTA KINABALU, 14 Jun : Sekumpulan pakar undang-undang, penyelidik dan pegawai daripada kerajaan Persekutuan dan Sabah akan berada di London untuk mencari dan mengkaji sebarang rujukan berkaitan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, pasukan itu dijadualkan berlepas ke London pada 19 Jun ini selama seminggu.

“Penyelidikan awal menunjukkan lebih 300 dokumen merujuk kepada hak kami dan perkara yang berkaitan dengan MA63 di Arkib Negara di London.

“Terdapat begitu banyak salah tanggapan dan sudah tiba masanya untuk menetapkan rekod yang betul. MA63 bukan sekadar perjanjian, oleh itu kami memerlukan semua fakta dan angka untuk membolehkan kami membuat tuntutan yang menjadi hak kami,” kata Ongkili dalam kenyataan hari ini.

Ongkili juga menegaskan bahawa adalah penting untuk pasukan itu melakukan penyelidikan supaya hak rakyat Sabah dan Sarawak dilindungi.

 Usaha yang sama telah dilakukan oleh kerajaan Sarawak enam tahun lepas.

“Kami teruja kerana akhirnya, kami dapat memegang dan mengakses dokumen sulit ini, yang kini telah diubah status di Arkib Negara. Kami berharap dapat gambaran lebih baik tentang apa yang berlaku sebelum kemerdekaan (negeri) kita pada 1963,” kata Ongkili.

Antara ahli pasukan itu ialah Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; Utusan Khas Sabah ke Kawasan Pembangunan ASEAN Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina Tan Sri Pandikar Amin Mulia; serta pegawai undang-undang dan tertinggi dari pejabat kementerian dan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak; dan Jabatan Ketua Menteri Sabah.

Ongkili berkata wakil tambahan dari kerajaan Sabah mungkin akan menyertai misi itu dan senarai masih disiapkan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.