Ahli ekonomi gesa kerajaan pertimbang langkah alternatif pastikan pemulihan ekonomi

Spread the love

KUALA LUMPUR, 14 Jun : Ahli ekonomi menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan langkah alternatif bagi memastikan pemulihan ekonomi.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Makro), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk K. Yogeesvaran berkata, keadaan semasa yang tidak menentu menyebabkan inflasi yang lebih tinggi, yang secara tidak seimbang telah menjejaskan mereka yang berpendapatan rendah.

Beliau menjelaskan bahawa pengenalan subsidi merupakan langkah jangka pendek yang akan menyelesaikan sementara isu itu, justeru, langkah yang lebih konstruktif perlu diambil bagi menangani inflasi.

“Apabila kita membincangkan mengenai subsidi dan golongan sasar, kita telah pun mengusahakan subsidi bersasar, dan terdapat banyak pilihan dalam perancangan,” katanya ketika sesi yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2022, bertemakan  “Mempercepatkan Transformasi Struktur, Memacu Pertumbuhan Ekonomi”, di sini hari ini.

Sesi kedua, yang bertemakan “Unjuran Ekonomi 2022 dan Seterusnya – Cabaran Mendatang: Inflasi, rantaian bekalan, kekurangan buruh dan kini Omicron,” turut menampilkan Pengarah Malaysia Venture Capital Management dan Bekas Ketua Ahli Ekonomi Alliance Bank Malaysia Bhd, Manokaran Mottain, serta penganalisis ekonomi di Putra Business School Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Yogeesvaran berkata walaupun data ekonomi berkembang dengan pesat, majoriti penduduk sedang bergelut untuk mengatasi cabaran harian.

“Kita tidak seharusnya melihat kepada data sara diri sahaja, kita perlu menyemak elemen mampu milik dan kualiti juga,” katanya, dan menambah bahawa terdapat percanggahan yang jelas antara data makroekonomi dan data mikroekonomi. 

Amerika Syarikat melaporkan pada 10 Jun 2022, bahawa harga pengguna meningkat 8.6 peratus pada Mei, indeks harga pengguna China naik 2.1 peratus pada April, dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura mengunjurkan inflasi keseluruhan tahunan republik itu adalah pada lima peratus tahun ini.

Inflasi Malaysia, yang diukur mengikut indeks harga pengguna (IHP), diunjurkan meningkat namun secara relatifnya kekal terurus antara 2.5 peratus dan 3.5 peratus pada 2022 berbanding 2.5 peratus pada 2021.

Ahmed Razman yang turut bersetuju menyatakan bahawa kerajaan harus mula melihat langkah alternatif seperti sistem baucar atau mata wang maya bagi mengatasi situasi domestik terkini, di samping mengehadkan harga dan subsidi. 

Malaysia menghadapi pelbagai isu serentak, termasuk isu buruh dan makanan, dan walaupun mengambil langkah biasa yang sama seperti menaikkan kadar faedah, subsidi dan lain-lain, mungkin tiba masanya untuk kita melihat kepada alternatif,” katanya sambil memetik kenyataan Albert Einstein yang terkenal: “Kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza.”

Ahmed Razman turut menekankan bahawa komponen ‘bakul’ IHP negara perlu disemak berikutan IHP tidak mencerminkan kos sara hidup sebenar.

Bank Negara Malaysia meletakkan indeks harga makanan pada lebih empat peratus bagi 2021.

“Oleh itu, data IHP terkini berkemungkinan tidak mencerminkan keadaan sebenar,” katanya.

Sementara itu, Manokaran menjelaskan bahawa penggubal dasar perlu bertegas dalam melaksanakan sebarang dasar dan program dan mempertimbangkan untuk mengembalikan dasar Buku Hijau bagi menangani kekurangan makanan semasa. 

Pada Disember 1974, Perdana Menteri Kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein melancarkan “Buku Hijau”, satu inisiatif untuk menggalakkan setiap rakyat untuk berkebun atau bercucuk tanam untuk jangka pendek. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.