Makmal Prototaip pacu pertumbuhan Revolusi Industri 4.0 Sarawak

Spread the love

KUCHING, 13 Jun: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) telah melancarkan Makmal Prototaip IR4.0 yang disasar akan menggalakkan pertumbuhan Revolusi Industri (IR) 4.0 di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penubuhan makmal tersebut adalah sejajar dengan matlamat Kerajaan Negeri dalam merealisasikan strategi Ekonomi Digital Negeri.

“Makmal ini adalah bukti tahap sinergi dan semangat kerjasama yang diperlukan untuk mengembangkan dan membangunkan Ekosistem Digital dan Inovasi Sarawak.

“Melalui makmal ini, industri tempatan kita kini mempunyai kemudahan berpusat yang bakal melonjakkan perniagaan mereka ke arah kesediaan IR4.0, sekali gus menjadikan mereka lebih berdaya saing di peringkat global dan seterusnya menarik pelaburan asing,” katanya dalam ucapan perasmian Makmal Prototaip IR4.0 sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 yang dibacakan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi di TEGAS Digital Village, di sini hari ini.

Di samping itu katanya, makmal tersebut juga memberi perkhidmatan kepada pemain industri ekosistem IR4.0 di Sarawak dengan menyediakan teknologi, pakar dan program pembangunan kapasiti tempatan bagi memupuk ekosistem IR4.0 yang komprehensif.

“Kami ingin memastikan bahawa terdapat kelengkapan dari aspek keupayaan dan peralatan yang mencukupi agar industri ini disokong dengan baik dalam kemajuan kepada transformasi digital,” tambahnya.

Majlis perasmian Makmal Prototaip IR4.0 itu juga menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara SDEC dan MTDC, SDEC dan tujuh buah universiti tempatan serta beberapa syarikat pemain industri ekosistem IR4.0.

Selain itu, lima buah syarikat permulaan turut menerima geran bernilai RM150,000 bertujuan untuk merancakkan lagi perkembangan perniagaan mereka.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni dan Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Len Talif Salleh. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.