Lelaki ditahan dipercayai jual biskut kanabis

Spread the love

KUALA LUMPUR, 13 Jun : Polis menahan seorang lelaki dipercayai menjual dadah berbentuk biskut secara dalam talian di sebuah kondominium di Bandar Manjalara, Kepong, di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata lelaki berusia 21 tahun itu didapati hanya menjual biskut berperisa kanabis itu menerusi media sosial kepada individu tertentu dan berminat sahaja.

“Kami menyerbu kondominium berkenaan dan menemukan dua bungkus kertas berpelekat ‘Happiness Begins With A Wonder Cake’.

“Pemeriksaan mendapati biskut berkenaan dihasilkan di sekitar Lembah Klang dan dijual pada harga RM100 dengan mengandungi enam keping bagi sebungkus seberat 230 gram,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Beh berkata hasil soal siasat ke atas lelaki itu, polis menahan enam lagi lelaki keesokannya di kondominium sama dan Jalan Lintang, Batu Caves, dekat sini.

“Polis merampas dadah antaranya kanabis seberat 25.15 kilogram, pil ekstasi seberat 2.86 kilogram, ganja seberat 83.4 gram, wang tunai RM6,000 serta lima barangan kemas dengan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM248,490,” katanya.

Beh berkata ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada lelaki berkenaan positif dadah jenis THC manakala empat daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kesemuanya akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.