Lebih RM100 ribu rampasan minyak masak subsidi di Tawau

Spread the love

TAWAU, 12 Jun : Isu penyelewengan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram di daerah ini merekodkan nilai rampasan mencecah RM105,047.60 sehingga 9 Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau, Sam Aminudin berkata, hasil risikan pihaknya mendapati modus operandi penyeleweng ini adalah membeli mengikut kapasiti pengguna.

“Kita dapati modus operandi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini mereka beli secara kecil-kecilan dan kumpulkan di dalam satu tempat.

“Hasil kumpul sedikit-sedikit ini dia (penyeleweng) kumpul banyak dan apabila jadi banyak mereka laksanakan operasi mereka untuk bawa ke seberang dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di pejabat KPDNHEP Tawau di sini.

Beliau berkata, dari segi aduan pihaknya telah menerima sebanyak 48 aduan sehingga 9 Jun tahun ini dengan barang kawalan merekodkan tujuh sahaja.

“Aduan-aduan yang dikemukakan ini adalah berkaitan dengan barang-barang kawalan yang dijual mahal, dan susah didapat di tempat premis perniagaan,”katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, di Tawau tidak mempunyai isu kekurangan bekalan minyak masak paket susulan jumlah kuota sebanyak 1154 metrik tan setiap bulan.

“Terdapat 10 syarikat pembungkusan minyak masak di Tawau yang membekalkan 1,154 metrik tan minyak masak paket bagi tempoh sebulan.

“Selain pasaran Tawau, minyak masak paket ini turut diedarkan di daerah sekitar antaranya Kunak dan Semporna,” katanya lagi.

Dalam masa sama beliau berkata, pihaknya masih mengehadkan setiap keluarga hanya boleh membeli dua kilogram minyak masak paket bagi tujuan kawalan dan mengelak berlakunya pembelian panik.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.