Penalti Bahrain kecewakan Malaysia di Bukit Jalil

Spread the love

KUALA LUMPUR, 11 Jun :  Jaringan sepakan penalti pemain gantian Abdulla Yusuf Helal pada penghujung perlawanan memusnahkan impian Malaysia mencipta kejutan ke atas Bahrain apabila tewas 1-2 pada aksi kedua Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023, malam ini.

Pada aksi di Stadium Nasional di Bukit Jalil itu, Helal menjaringkan gol kemenangan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81 yang diberikan pengadil dari Tajikistan Sadullo Gulmurodi selepas penjaga gol Mohd Farizal Marlias menjatuhkan Ali Jaafar Madan dalam kotak penalti.

Terdahulu, pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh membuka tirai jaringan buat Malaysia pada minit ke-55 sebelum Ali Abdulla Haram menyamakan kedudukan buat Bahrain dua minit berselang.

Beraksi di depan lebih 63,000 penyokong, Malaysia ternyata lebih mendominasi 45 minit pertama permainan dengan beberapa siri serangan sementara benteng pertahanan Bahrain bekerja keras menyerap asakan demi asakan skuad Harimau Malaya.

Pasukan negara tidak menunggu lama untuk memberikan amaran seawal minit kelima apabila hantaran jauh Ahmad Khuzaimi Piee tepat ke kaki Junior Eldstal tetapi beliau lambat menolak bola menyaksikan penjaga gol Sayed Mohammed Abbas bertindak menyelamatkan keadaan.

Malaysia terus melancarkan serangan berbahaya dengan penyerang, Muhamad Nazmi Faiz Mansor, Darren Lok dan Junior masing-masing mempunyai peluang untuk meletakkan Malaysia di depan dalam tempoh 15 minit pertama, namun Abbas cemerlang muncul watak penyelamat.

Peluang keemasan untuk Malaysia memecah kebuntuan hadir pada minit ke-31 menerusi pemain sayap Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang berjaya melepasi perangkap ofsaid selepas menerima hantaran Mohamed Syamer Kutty Abba, namun rembatannya berjaya ditepis keluar Abbas.

Kebuntuan kedua-dua pasukan membuka tirai jaringan menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan tanpa jaringan sebelum aksi menjadi lebih rancak pada babak kedua perlawanan.

Bahrain dibimbing Helio Sousa memulakan permainan dengan garang apabila terlebih dahulu menguji penjaga gol Mohd Farizal Marlias menerusi rembatan deras jarak jauh Komail Hasan Al-Aswad pada minit ke-46.

Bagaimanapun, satu gerakan serangan balas dicipta anak buah Kim Pan Gon berjaya membuahkan hasil untuk memecah kebuntuan selepas pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh berjaya menolak masuk bola hantaran lintang Ahmad Khuzaimi pada minit ke-55.

Tersentak dengan jaringan itu, Bahrain di ranking ke-89 dunia pantas menyamakan kedudukan hasil penyudah Ali Abdulla Haram yang memanfaatkan hantaran lintang rakan sepasukan dari sebelah kanan untuk kembali meniup semangat pasukan.

Kedua-dua pasukan terus melancarkan serangan, selain membawa masuk beberapa pemain gantian seperti Safiq Rahim, Guilherme de Paula, Syafiq Ahmad, Arif Aiman dan Safawi Rasid dalam usaha menguatkan jentera serangan, namun buntu menambah koleksi jaringan sehingga sepakan penalti diberikan yang menjadi pemisah pada malam ini.

Kemenangan Bahrain menyaksikan mereka mengumpul enam mata di kedudukan teratas Kumpulan E manakala Malaysia dan Turkmenistan masing-masing berkongsi tiga mata di tempat kedua dan ketiga sementara Bangladesh tercorot tanpa sebarang mata.

Bagi menghidupkan peluang ke Piala Asia, Malaysia berdepan misi wajib menang ke atas Bangladesh pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional, Selasa depan sementara Bahrain pula akan menentang Turkmenistan di venue sama pada hari yang sama. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.