Polis Sandakan tahan 27 suspek pelbagai kes termasuk bunuh

Spread the love

SANDAKAN, 10 Jun : Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini berjaya menyelesaikan 14 kes jenayah melibatkan curi kenderaan, pecah rumah, bunuh, ugutan dan pergaduhan yang dilaporkan bagi tempoh hujung Mei hingga awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Hamizi Halim berkata, kejayaan itu susulan penangkapan 27 suspek lelaki termasuk enam warga asing yang berumur lingkungan 15 tahun hingga 45 tahun.

Katanya, tujuh suspek yang ditangkap juga positif dadah jenis Methampetamine.

“Polis juga berjaya merampas 41 unit barangan curi termasuk empat kenderaan, sebuah motorsikal, tiga karung gulungan tembaga dan 33 jenis peralatan yang digunakan untuk kegiatan pecah rumah, mencuri kabel dan pecah kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Balai Polis Bandar Sandakan.

Menurut Mohd. Hamizi, kes utama melibatkan penangkapan seorang lelaki warga asing berumur 38 tahun yang terlibat dalam 11 kes curi kenderaan, pecah rumah dan pecah kereta.

Menurut beliau, pihaknya komited membasmi kegiatan jenayah secara konsisten demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.