Pekerja projek Pan Borneo ‘lari’ ke sektor perladangan kerana gaji lebih lumayan

Spread the love

SIBU, 10 Jun : Peningkatan ketara harga minyak kelapa sawit mentah ketika ini menyaksikan sektor itu berjaya ‘menarik’ lebih ramai tenaga kerja sehingga menjejaskan sektor lain termasuk pembinaan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, kontraktor yang terlibat dengan pembinaan beberapa pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak turut terkesan apabila ada di kalangan mereka yang ‘hilang’ tenaga kerja sehingga 30 peratus.

Katanya, masalah berkenaan perlu diatasi segera bagi memastikan projek berkenaan tidak mengalami kelewatan.

“Sektor pembinaan perlu melakukan sesuatu untuk memastikan pekerja kekal,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada hari kedua Jelajah FTRoadpedia Sarawak bersama pegawai Kementerian Kerja Raya di tapak projek jejambat Selangau, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang kontraktor terlibat, John Lee Chin Seng berkata, syarikatnya kini sedang berusaha untuk ‘meminjam’ tenaga kerja dari Kuching untuk menyiapkan projek jejambat berkenaan.

“Seorang demi seorang pekerja berpindah ke sektor perladangan yang menawarkan gaji lebih tinggi dan kami tidak boleh menghalang mereka berbuat demikian,”katanya.

Menurut John Lee, ketika ini dia memerlukan tambahan pekerja sekitar 80 hingga 100 orang untuk menyiapkan kerja pembinaan di kawasan berkenaan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.