Cemas anak dalam kereta dilarikan pencuri

Spread the love

KUANTAN, 10 Jun : Seorang peniaga berdepan detik cemas selepas anak lelakinya dilarikan oleh seorang penganggur yang mencuri keretanya di Felda Hilir Satu di sini, yang didakwa mahu digunakan untuk pulang ke kampung.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner(ACP) Wan Mohd Zahari Wan Busu bagaimanapun berkata kanak-kanak berusia sembilan tahun itu, diturunkan di tepi Jalan Kuantan-Maran dan diambil oleh ibunya yang mengejar kereta Perodua Alza miliknya itu, dengan menaiki kereta kawannya.

Kejadian berlaku pada 6.30 petang semalam, semasa mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik didakwa mengikut ibunya berusia 34 tahun ke rumah rakannya di felda itu, dan ditinggalkan dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjin selama beberapa minit.

“Ibu mangsa mendakwa jiran rakannya memaklumkan kereta itu telah dilarikan seorang lelaki, menyebabkan mereka bergegas mengejar suspek. Suspek telah menurunkan kanak-kanak itu beberapa kilometer dari lokasi kejadian dan terus melarikan kenderaan,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata suspek berusia 35 tahun yang tidak bekerja itu, akhirnya berjaya ditahan oleh pasukan kereta peronda polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.

Siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, melarikan kereta itu, kerana mahu pulang ke kampung di Mentakab, Temerloh.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.