UTS anjur forum sentuh penglibatan komuniti dalam program digital sempena IDECS

Spread the love

SIBU, 9 Jun : Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menerusi Pusat Termaju Untuk Pembangunan Sosio Ekonomi dan Teknologi Mampan (ASSET) bekerjasama dengan rakan strategiknya untuk menganjurkan forum bagi membincangkan penglibatan komuniti dalam pembangunan jangka panjang sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022.

Forum bertajuk Digital Infrastructure, Community Experiences and The Way Forward itu akan dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Persatuan Komunikasi Progresif (APC).

Menerusi kenyataan media UTS memaklumkan, Naib Canselor universiti berkenaan, Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid dan Ketua ASSET, Profesor Madya Dr Tariq Zaman dijangka akan menyampaikan ucapan aluan pada forum berkenaan yang akan berlangsung esok.

“Antara topik yang akan disentuh termasuklah akses digital dan kemampanan perkhidmatan yang akan turut menyaksikan penglibatan masyarakat setempat, penggubal dasar dan ahli panel antarabangsa,”jelas kenyataan itu.

Perbincangan juga dijangka akan mengetengahkan suara masyarakat dan mendengar pengalaman mereka mengenai program rangkuman digital di Sarawak.

Ahli panel lain yang dijangka akan berkongsi buah fikiran termasuklah dari Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), SDEC dan UTS.

Hasil perbincangan akan dibawa ke forum dasar seterusnya yang akan dianjurkan sebagai sebahagian daripada Persidangan Reka Bentuk Penyertaan 2022 pada 18 hingga 20 Ogos ini di UTS. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.