Penganggur sebabkan kemalangan lima kenderaan didakwa miliki ganja

Spread the love

KUALA PILAH, 9 Jun : Seorang penganggur yang ditahan selepas disyaki menyebabkan kemalangan lima kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di daerah Rembau, Ahad lepas, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memiliki ganja.

Mengikut kertas pertuduhan, Munzir Azmeer Abd Rahim, 28, didakwa memiliki tumbuhan kering disyaki dadah kanabis dianggar seberat 3.39 gram di dalam kereta jenis Perodua Myvi di Kilometer 242.9 di lebuh raya PLUS arah selatan, dalam daerah Rembau, kira-kira 10.25 pagi pada 5 Jun lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Che Ku Nor Azlinda Che Ku Mahmood. 

Tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Yap Tsu Sheng dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Jun ini.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.