Harga tepung meningkat, Dayang Saibah kekalkan harga lama kuih

Spread the love

KUCHING, 8 Jun : Di sebalik kenaikan harga bahan mentah ketika ini, masih terdapat peniaga yang mengekalkan harga jualan lama.

Peniaga kuih – muih, Dayang Saibah Awang Jamali ,43, berkata, setakat ini dia tidak bercadang untuk menaikkan harga kerana memahami ramai yang terkesan ekoran peningkatan kos sara hidup.

Katanya, sebagai perniaga kecil, dia turut merasai tempias apabila harga tepung meningkat.

“Saya faham orang ramai terkesan, sebab itu saya masih jual pada harga lama walaupun kos saya bertambah,”katanya ketika ditemui TVS di gerai kuihnya di Jalan Padang Jawa hari ini.

Bagaimanapun Dayang Saibah berkata, sekiranya harga bahan untuk membuat kuih terus meningkat pada masa akan datang, dia tidak ada pilihan selain terpaksa menjual pada harga baharu.

Sementara itu tinjauan juga mendapati harga makanan yang melibatkan penggunaan tepung gandum mengalami peningkatan sehingga 30 peratus.

Peniaga restoran mamak, Ahmad Albab Bhadar Ali, 38, berkata, kenaikan harga tepung menyebabkan dia terpaksa menaikkan sedikit harga roti canai yang dijual di restorannya.

Perkara sama turut dikongsi oleh peniaga roti canai, Sharkawi Hashim.

Katanya, stok tepung yang digunakan semakin sukar didapati di pasaran menyebabkan dia terpaksa menggunakan jenama lain yang kurang terkenal untuk dijadikan adunan roti canai ketika ini.

“Ini sedikit sebanyak akan mengubah rasanya.

“Selain harga kos meningkat, saya juga berdepan masalah mendapatkan bekalan bahan asas,”katanya yang berniaga di Fauziah Family Cafe.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan, bekalan tepung gandum dalam negara adalah stabil dan mencukupi.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.