Draf RUU lompat parti dimuktamadkan, dijangka dibentang Julai ini – Wan Junaidi

Spread the love

KUCHING, 8 Jun : Draf Rang Undang-Undang (RUU) Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No. 3) 2022 telah dimuktamadkan dan dijangka akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama pada Julai depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 Dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bilangan 6 Tahun 2022 yang berlangsung semalam.

Katanya, lima persoalan dasar yang dibangkitkan oleh Jemaah Menteri semasa mesyuarat pada 1 Jun lepas telah diulas dan dijawab dalam mesyuarat semalam.

“Segala maklum balas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai perkara ini akan dibawa semula sebagai Nota Jemaah Menteri dalam mesyuarat akan datang.

“Oleh itu, Jawatankuasa Pilihan Khas secara sebulat suara bersetuju untuk meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen pada awal Julai,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Baca > > > Jawatankuasa Khas setuju hampir semua dasar mengenai larangan tukar parti – Wan Junaidi

Beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas ini telah berjaya melaksanakan terma rujukan sebagaimana yang diluluskan pada 11 April 2022.

“Pencapaian ini merupakan hasil komitmen bersama dengan sokongan padu Parlimen Malaysia,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.