KKM kaji keperluan naik taraf BKKM sebagai pihak berkuasa-KJ

Spread the love

SEPANG, 7 Jun: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti keperluan menaik taraf Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sebagai Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dalam sidang media selepas melancarkan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 bertemakan ‘Makanan Selamat, Kesihatan Terjaga’ di sini hari ini, Khairy berkata ia selaras perkembangan pesat teknologi pada masa kini dan keperluan di masa hadapan dalam aspek keselamatan serta kualiti makanan.

BKKM kini adalah sebuah bahagian di bawah KKM yang berperanan melindungi pengguna dalam aspek kualiti dan keselamatan makanan melibatkan proses penyediaan serta pengedaran makanan bagi memastikan pengguna menikmati makanan yang bersih dan tidak mengakibatkan keracunan makanan.

“Boleh dikatakan ia adalah rancangan jangka sederhana,” katanya berhubung cadangan untuk menaik taraf BKMM itu.  

Khairy berkata penelitian itu juga merupakan sebahagian daripada kajian semula pindaan Akta Makanan 1983 (Akta 281) yang sedang dijalankan KKM ketika ini.

“Dari semasa ke semasa kita perlu kaji semula struktur perundangan sedia agar selaras dengan keperluan semasa,” katanya.

Akta 281 yang dikuatkuasakan pada Mac 1983 telah dipinda kali terakhir pada Jun 2006. Ia merupakan akta bagi melindung orang ramai terhadap bahaya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, serta mengenai perkara yang bersampingan atau berkaitan dengannya.

Khairy dalam pada itu mengalakkan pengusaha dan pengendali makanan di rumah supaya mendaftarkan perniagaan dengan BKKM untuk disenaraikan sebagai pemegang sijil penyedia makanan di rumah yang diakui KKM.

“Walaupun tidak diwajibkan, sijil berkenaan sebagai jaminan keselamatan terhadap produk makanan yang dihasilkan.

 “BKKM dapat pantau dan pengguna boleh memilih penyedia makanan yang ada sijil melalui laman sesawang BKKM. Ini dapat melindungi pengguna dan pastikan penyedia makanan mematuhi keperluan penyediaan makanan,” katanya.

Mengenai proses pendaftaran, beliau berkata setiap penyedia makanan perlu mengemukakan dokumen permohonan sokongan seperti slip pendaftaran premis, sijil perakuan penerimaan pelalian vaksin anti-tifoid, sijil Latihan Pengendali Makanan dari Sekolah Latihan Pengendali Makanan yang diiktiraf serta label makanan.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.