Kes HFMD di P.Pinang meningkat 22 kali ganda

Spread the love

GEORGE TOWN, 7 Jun: Sebanyak 3,990 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Pulau Pinang sejak Januari sehingga minggu epid ke-23 (29 Mei hingga 4 Jun) tahun ini, iaitu peningkatan 22 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata sebanyak 119 kluster HFMD dilaporkan sepanjang tempoh sama berbanding hanya tujuh kluster pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 16 kali ganda.

“Sehingga minggu ke-23 jumlah kumulatif kes HFMD yang dilaporkan adalah sebanyak 3,990 kes berbanding dengan hanya 176 kes pada tempoh yang sama tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 22 kali ganda.

“Jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2019 (sebelum pandemik COVID-19) dengan kes sebanyak 1,727, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.3 kali ganda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya daripada jumlah itu, daerah Barat Daya mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 988 kes (24.8 peratus), diikuti Seberang Perai Tengah (867 kes/21.7 peratus), Seberang Perai Utara (826 kes/20.7 peratus), Timur Laut (786 kes/19.7 peratus) dan Seberang Perai Selatan mencatatkan 523 kes iaitu 13.1 peratus.

Norlela berkata kes HFMD di negeri ini banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah sebanyak 3,357 kes iaitu 88.65 peratus, diikuti kumpulan berusia tujuh hingga 12 tahun sebanyak 377 kes (9.45 peratus), manakala selebihnya berusia lebih 12 tahun iaitu 256 kes (1.9 peratus).

Katanya Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati semua pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika untuk sentiasa memastikan kebersihan premis termasuk peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak.

”Pengusaha dan pengasuh di taska juga perlu membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.

“Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya,” katanya.

Beliau berkata pengusaha juga perlu mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain.

Selain itu, menurutnya semua pihak haruslah mengamalkan langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit termasuk COVID-19 seperti memakai pelitup muka dan menghadkan pergaulan rapat.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.