Raja Berpelembagaan perlu penghayatan

Spread the love

KUCHING, 6 Jun: Sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia merupakan sistem yang unik dan utuh kerana ia memperlihatkan Yang di-Pertuan Agong sebagai  payung negara dan lambang kepada  permuafakatan dan kedaulatan negara.

Menurut Menteri di Pejabat Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang disambut di seluruh negara, merupakan platform terbaik bagi rakyat Malaysia untuk memahami serta menghayati maksud sistem Raja Berpelembagaan.

“Hari Keputeraan Rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong bukanlah semata-mata sekadar kita bercuti umum, sambutannya adalah untuk kita sebagai rakyat Malaysia  menghayati serta menghargai kedaulatan sebuah negara bernama Malaysia yang mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan.

“Hal ini kerana, Malaysia merupakan sebuah negara yang unik yang mengamalkan sistem berkenaan yang mana perlantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir antara kesultanan sembilan buah negeri,

“Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara memperlihatkan ia sebagai simbol kepada ketaatan rakyat Malaysia.

“Sebagai Ketua Negara, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah simbol kepada ketaatan rakyat Malaysia kepada undang-undang dan perlembagaan seperti yang telah  termaktub  dalam prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara,” katanya dalam program Sejahtera Asia yang disiarkan hari ini.

Datuk John Sikie yang merupakan menteri bertanggungjawab bagi sambutan perayaan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 Peringkat Negeri Sarawak berkata, Sarawak akan mengadakan beberapa lagi program yang menyajikan unsur kesenian etnik negeri ini bagi meraikan sambutan berkenaan.

“Kita akan mengadakan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 16 Peringkat Negeri Sarawak tahun  2022 yang bertempat di bahagian Kapit pada 5-6 Jun nanti di Kapit Town Square dengan pelbagai persembahan yang berunsurkan kesenian masyarakat di Sarawak untuk diperagakan.

“Majlis berkenaan dijangka akan turut  dihadiri oleh  Tuan Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan yang amat berbahagia Toh Puan sebagai tetamu kehormat,” katanya.

Menurut beliau, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara yang dilangsungkan secara fizikal itu, namun pada masa sama, menyeru agar mereka mengamalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang betul sepanjang keberadaan di sana-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.