Bandar Kapit akan menjadi lokasi rasmi sambutan Hari Keputeraan Agong di Sarawak.

Persediaan sambutan Hari Keputeraan Agong di Kapit lancar

ByLuqman Muhammad

KAPIT, 5 Jun : Persiapan sambutan Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong peringkat Sarawak di bandar ini berjalan lancar.

Ketua Penolong Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Negeri (UPPAN), Norhayati Bidin berkata, pelbagai pengisian telah diatur selain wajah bandar ini ‘berubah ceria’ bagi menyambut sambutan berkenaan.

Katanya, seluruh bandar juga telah dihiasi bendera Sarawak dan Malaysia bagi memeriahkan sambutan yang akan berlangsung secara besar-besaran.

Norhayati Bidin, Ketua Penolong Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Negeri (UPPAN),

“Persiapan telah bermula pada 3 Jun termasuk mengadakan raptai bersama artis-artis yang terlibat, kumpulan tarian kesenian dan kebudayaan untuk menjayakan sambutan kali ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita menjelang sambutan yang akan diadakan di Kapit Town Square di sini, pada Isnin.

Tambah Norhayati, sambutan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka bukan sekadar cuti umum kerana mempunyai pengisian yang meluas.

“Ini adalah supaya rakyat Malaysia dapat menghayati serta menghargai kedaulatan sebuah negara bernama Malaysia yang mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan.

“Sarawak negeri tunggal yang mengadakan sambutan ini, negeri -negeri lain tidak ada kecuali sambutan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur. Inilah keunikan di Sarawak,”katanya.

Beliau turut memberitahu, konsert yang bakal berlangsung akan turut diserikan dengan persembahan menarik iaitu tarian Ngajat Pua Kumbu sebagai pembuka tirai dan Konsert Simfoni diiringi orkestra yang menampilkan penyanyi-penyanyi tempatan Sarawak.

Dianggarkan lebih 1,000 orang pengunjung pada malam penuh gemilang itu selain pihak penganjur juga akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka.

Sementara itu , penduduk di bandar ini teruja kerana tempat mereka dipilih sebagai lokasi sambutan rasmi di Sarawak.

Seorang guru, Mias Geraji berkata, acara itu bukan sahaja dapat mempromosikan budaya masyarakat setempat malahan akan membantu melonjakan pendapatan peniaga tempatan dengan kehadiran pengunjung luar.

Mias Geraji, Guru

“Selain itu, saya berpendapat, keistimewaan lain yang ada di sini termasuk kraftangan, pelancongan dan makanan lazat akan dapat dipromosikan kepada orang luar apabila acara ini berlangsung,”katanya.

Bagi Robert Bijam pula, peristiwa bersejarah ini akan menjadi kenangan terindah untuk masyarakat Kapit lebih-lebih lagi setelah dua tahun pandemik melanda.

Robert Bijam, Orang Awam

” Saya rasa bangga, terharu dan gembira apabila Kapit dipilih untuk sambutan Hari Keputeraan Agong,”katanya. -TVS

Tags: #Agong, Kapit