Speedy Tiger ‘belasah’ Jepun, mara ke final Piala Hoki Asia

Spread the love

JAKARTA, 31 Mei : Pasukan hoki negara melangkah ke final Kejohanan Hoki Super 4 selepas membelasah Jepun 5-0 sebentar tadi.

Stadium Hoki Bung Karno di sini menjadi bukti kebangkitan The Speedy Tigers yang sebelum ini sekadar seri ketika bertemu India dan Korea Selatan.

Gol pembukaan Shello Silverius pada minit ke-15 separuh masa pertama membuatkan skuad Malaysia terus yakin memimpin permainan malah langsung tidak ‘memberi muka‘ kepada skuad Samurai untuk bangkit.

Aksi garang Malaysia berterusan selang 15 minit kemudian dengan gol Aiman Rozemi.

Muhammad Razie Abd Rahim pula menambah derita Jepun apabila meledak jaringan ketiga yang terhasil menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35.

Seterusnya, Muhammad Najib Abu Hassan turut mencatat nama sebagai penjaring menerusi gol keempat.

Pesta jaringan Malaysia ditutup oleh Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-42.

Pasukan hoki negara melangkah ke final Kejohanan Hoki Super 4 selepas membelasah Jepun 5-0 sebentar tadi. Foto: David Andreas (TVS)

Ketua Jurulatih, Arul Selvaraj berkata, mereka bekerja keras untuk menang dan mara ke final.

“Pemain jelas menunjukkan sikap ingin menang, tahu tanggungjawab masing-masing malah semakin menunjukkan peningkatan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Malaysia akan membuat perhitungan dengan Korea Selatan esok untuk penentuan juara. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.