Sarawak cipta rekod bermukun selama 76 jam

Spread the love

KUCHING, 31 Mei : Sarawak berjaya mencatatkan rekod baharu dalam Malaysia Book of Records menerusi program Juh Bermukun 76 jam tanpa henti.

Acara menandatangani Sijil Malaysia Book of Records telah disempurnakan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni sebagai mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sambil disaksikan Perunding Kanan Rekod Malaysia Book of Records Edwin Yeoh Tiong Chin.

Menurut Dr Hazland, penganjuran program seumpama ini yang berunsurkan seni budaya Sarawak berupaya menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong.

Ia tambahnya, secara langsung berpotensi besar untuk menjana ekonomi negeri.

“Sektor seni budaya sejak dahulu memiliki potensi besar sebagai penjana ekonomi termasuk sektor pelancongan.

“Justeru, saya menyeru kepada agensi-agensi berkaitan dan masyarakat untuk bersama memelihara seni, budaya dan warisan negara,” katanya pada Majlis Penutupan ‘Juh Bermukun 76 Jam Tanpa Henti’ pada Isnin.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri akan terus mempelbagaikan usaha dalam meningkatkan potensi dan imej warisan dan budaya masyarakat di Sarawak sebagai teras kepada pembangunan yang seimbang.

Program anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Budaya dan Jabatan Penyiaran (RTM) Sarawak itu berlangsung pada 27 sehingga 30 Mei.

Untuk rekod, program ini pernah dilaksanakan pada tahun 2004 dengan catatan 50 jam tanpa henti. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.