Cemburu dan samun dipercayai punca wanita Indonesia dibunuh

Spread the love

KUCHING, 30 Mei : Polis tidak menolak kemungkinan motif cemburu dan samun sebagai punca kes pembunuhan seorang wanita Indonesia di Batu Kawa di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ini kerana siasatan di bilik sewa wanita itu yang merupakan lokasi kejadian mendapati beberapa barangan peribadi mangsa telah hilang.

Baca >>>  Wanita Indonesia dipercayai dibunuh depan anak perempuan di Batu Kawa

Katanya,mangsa ditemui mati dengan kecederaan luka besar di leher bahagian hadapan kerongkongnya disyaki akibat tikaman senjata tajam.

“Kejadian itu disedari apabila anak perempuan mangsa berusia lima tahun yang berlari sambil menangis ke sebuah premis perniagaan rakan ibunya di kawasan berhampiran.

“Hasil maklumat daripada kenalan mangsa, mangsa yang berusia 35 tahun itu disyaki bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO),” jelasnya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Abang Zainal memberitahu, polis juga telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi urusan penjagaan anak mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Hamzah Morni di talian 019 866 0796. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.