12 lelaki ditahan, samun 180 mesin bitcoin

Spread the love

KLANG, 30 Mei: Dua belas lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan dalam sembilan serbuan di sekitar sini pada 26 dan 27 Mei lepas, berhubung kes kecurian mesin bitcoin yang membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata kesemua suspek berusia antara 20 dan 40 tahun itu ditahan polis, susulan laporan dibuat oleh pemilik sebuah kilang aluminium di kawasan perindustrian Meru Barat, dekat sini, selepas premisnya disamun dan 180 mesin bitcoin dicuri dalam dua kejadian pada 27 April dan 20 Mei lepas.

Beliau berkata berdasarkan modus operandi yang digunakan, suspek menyamun kilang pada awal pagi dan mengikat pegawai keselamatan yang bertugas.

“Susulan daripada itu, satu kertas siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan telah dibuka. Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, di sini.

Vijaya Rao berkata kesemua suspek warga tempatan yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, manakala warga Indonesia tidak mempunyai rekod jenayah.

“Dalam kesemua serbuan itu, antara yang dirampas seperti kereta, komputer ribu, telefon bimbit dan mesin bitcoin. Hasil daripada tangkapan, rampasan dan siasatan yang dibuat, setakat ini polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun bitcoin di kawasan Klang Utara,” katanya.

Katanya, pihak polis kini sedang mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Tan Jian Farn (Q-Peng), 37, Herman Petrus, 41, dan Abdul Rahim Mohamad Ali, 33, dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.