Pengambilan tanah untuk pembinaan lapangan terbang baharu di Lawas bermula

Spread the love

KUCHING, 28 Mei : Proses pengambilan tanah untuk pembinaan lapangan terbang baharu di Lawas telah bermula.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat dengan projek berkenaan itu juga akan diserahkan dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama katanya, Kerajaan Sarawak berterima kasih kepada Kementerian Pengangkutan kerana memberi sokongan kepada pembinaan lapangan terbang baharu di kawasan itu yang dilihat sebagai keperluan mendesak.

” Lapangan terbang baharu ini penting kerana yang sedia berdepan beberapa masalah termasuk sering dilanda banjir selain tidak dapat menampung permintaan domestik,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Bertemu Pelanggan dan Penutupan Majlis Bantuan Lesen Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong.

Sementara itu, Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak turut komited dalam memastikan perhubungan jalan raya dari Limbang dan Lawas ke Miri tanpa perlu melalui Brunei agar segera dilaksanakan.

“Kita telah ke Kuala Lumpur bertemu menteri terlibat untuk memohon supaya projek berkenaan dipercepatkan.

“Pada masa sama, kita turut meminta Kerajaan Persekutuan untuk memberi perhatian kepada pembinaan jalan raya dari sempadan Indonesia ke persimpangan di Long Lopeng dan ini diberi perhatian oleh kerajaan pusat,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.