Pemuda ‘merempit’ dengan nombor pendaftaran JANDA 8740 ditahan polis

Spread the love

SIBU, 28 Mei : Perbuatan ‘suka – suka’ seorang penunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran JANDA 8740 ketika bersiar – siar di sekitar bandar ini membawa padah apabila dia ditahan polis petang semalam.

Bertambah pelik, lelaki itu ‘menampal’ nombor plat berbeza pada bahagian depan motosikal jenis Yamaha Y15 miliknya itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 21 tahun ditahan di Lorong 4, Jalan Lanang, dekat sini pada pukul 4 petang semalam.

Katanya, ketika disoal siasat, lelaki itu memberitahu, dia ‘teruja’ dan sangat menyukai perkataan janda.

“Suspek didapati mempamerkan nombor plat hadapan dan belakang palsu,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.

Zulkipli memberitahu, semakan dalam talian terhadap nombor casis dan enjin motosikal itu mendapati dua nombor plat motosikal yang digunakan berbeza dengan nombor asal.

“Remaja lelaki itu bersama motosikalnya kemudian dibawa ke Balai Trafik Sungai Merah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.