Subsidi mungkin cecah RM71 bilion pada 2022, inflasi terkawal – Tengku Zafrul

Spread the love

KUALA LUMPUR, 27 Mei : Malaysia dijangka perlu menampung jumlah subsidi lebih tinggi bagi 2022 yang mencecah RM71 bilion dengan subsidi bahan api sahaja berjumlah RM30 bilion berikutan kenaikan harga minyak mentah.

Bercakap pada Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peningkatan subsidi itu telah menyebabkan kadar inflasi teras lebih rendah pada 2.3 peratus.

Baca > > > Kadar Inflasi Malaysia masih rendah

Menurutnya, biarpun inflasi meningkat, Malaysia sebaliknya bernasib baik kerana mempunyai sumber komoditi dan berbeza dengan negara-negara lain di rantau ini yang tidak berpeluang memperoleh hasil peningkatan harga komoditi bagi menampung impak harga bahan api tersebut.

Baca > > > Inflasi makanan meningkat lebih tinggi 4.1 peratus pada April – DOSM

Beliau merupakan antara panelis bagi sesi bertajuk ‘Global Risks in an Era of Turbulence.’

Menjawab pertanyaan mengenai kemampuan kerajaan Asia mengekalkan sokongan domestik bagi harga beras untuk rakyat, Tengku Zafrul berkata terdapat banyak bantuan berkaitan yang disalurkan oleh kerajaan bagi memastikan bekalannya terjamin.

Malah, pada masa sama, jumlah subsidi yang besar turut diperuntukkan dalam usaha memastikan harga beras dikekalkan berikutan kepentingannya kepada rakyat Malaysia.

Menyentuh risiko China ke atas Laut China Selatan, beliau berkata sejajar dengan kedudukan China sebagai rakan dagang terbesar negara ini, Malaysia akan terus berusaha melibatkan China berbanding sebaliknya.

“Kita juga berharap apa yang berlaku di China, terutama membabitkan sekatan pergerakan (akibat pandemik COVID-19) tidak banyak menjejaskan rantaian bekalan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata keadaan di China juga memberi impak kepada semua rakan dagangnya.

“Sekatan itu ternyata lebih serius daripada sebelum ini dan lebih lama daripada apa yang kita jangkakan biarpun terdapat kesan positif apabila sekatan itu ditamatkan.

“Jika anda merujuk kesan limpahan apabila China menarik balik sekatan itu, saya berpendapat bahawa impaknya adalah positif dan boleh diurus,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.