RWMF 2022 bakal sajikan kelainan muzik tradisional India

Spread the love

KUCHING, 27 Mei: Pengunjung pada festival muzik antarabangsa, Rainforest World Music Festival (RWMF) pada tahun ini akan berpeluang menyaksikan  kelainan kepada muzik tradisional India dengan penampilan BluGuru, sebuah kumpulan muzik yang menggabungkan unsur muzik India, Blues, Celtic, Swing, Jazz, Bluegrass, dan elemen pengembaraan.

BluGuru terdiri daripada pemain multi-instrumentalis dan juara Gitar Kebangsaan Bluegrass tiga kali Andrew Clermont, calon Anugerah Fringe, Josh Bennett, serta bakal menampilkan vokal dan tarian luar biasa daripada Parvyn, anak kepada penyanyi terkenal Dya Singh.

“Kumpulan trio ini bakal memukau penonton dengan gabungan harmoni vokal dan alunan bunyi daripada pelbagai instrumen muzik tradisional India, Australia, Eropah dan Amerika seperti sitar, tabla, banjo, dilruba, didgeridoo, mandolin, dan banjo,” jelas Sarawak Tourism Board dalam satu kenyataan media.

Baca lagi > > > Alena Murang dan Bamboo Woods bakal meriahkan Rainforest World Music Festival 2022

Baca lagi > > > Jerry And Friends teruja sertai RWMF 2022

Selain BluGuru, RWMF juga bakal menampilkan pemain gitar slaid termasyur India, Debashish Bhattacharya yang akan diiringi oleh anak perempuannya, vokalis Anandi Bhattacharya.

Mereka turut akan diiringi oleh ahli keluarga mereka Subhasis Bhattacharya, seorang pemain tabla yang juga merupakan calon Anugerah Grammy.

Bertemakan “Legendary Rainforest Celebration”, RWMF akan diadakan dari 17 hingga 19 Jun ini, dan akan menampilkan pemuzik dari seluruh dunia termasuk Bhutan, Jepun dan Ukraine.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun yang ke 25 penganjuran RWMF, dan ia nya menjadi lebih istimewa kerana pada tahun ini RWMF akan diadakan secara hibrid buat pertama kalinya.

Konsert fizikal akan diadakan di Kampung Budaya Sarawak manakala penonton juga boleh menonton secara maya menerusi laman web rwmf.net.

Tiket RWMF dijual dalam kategori berbeza iaitu Pas Sehari bagi Dewasa (RM150), Pas Tiga Hari bagi Dewasa (RM375), Pas Sehari bagi Kanak-Kanak (RM80), Pas Tiga Hari bagi Kanak-kanak (RM155) dan Pas Keluarga Sehari – Dua Dewasa dan Dua Kanak-kanak (RM400).

Tiket bagi RWMF boleh ditempah menerusi laman web https://rwmf.iticket.com.my/. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.