Pan Borneo Sabah : Baki 19 pakej kerja fasa 1 dilaksana guna peruntukan kerajaan

Spread the love

SANDAKAN, 27 Mei : Baki 19 Pakej dalam Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1 di Sabah akan dilaksanakan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, setakat ini belum ada keperluan untuk menggunakan Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) bagi pembinaan projek itu seperti yang dicadangkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Katanya, semua baki pakej itu kini sedang dimuktamadkan bagi kaedah perolehan dan perincian reka bentuk sebelum jumlah keseluruhan peruntukan diputuskan.

“Setakat ini anggaran peruntukan diperlukan adalah sebanyak RM12.7 bilion. Kita sasarkan pembinaan baki projek ini dimulakan pada tahun ini selepas Kementerian Kewangan memuktamadkan kaedah pelaksanaan dan perolehan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Tinjauan Pakej Kerja WP 27 Lebuh Raya Pan Borneo Sabah – Menaiktaraf Jalan Dari Kampung Lot M Ke Batu 32 di Sandakan.

Sementara itu, berhubung isu kerosakan Jalan Sandakan – Telupid, beliau berkata jalan baharu perlu dibina semula memandangkan tempoh hayat jalan asal telahpun tamat.

Katanya, strategi Jabatan Kerja Raya Sabah buat masa ini adalah memberi tumpuan untuk membina jalan baru untuk kegunaan pengguna sebelum memberi laluan kepada pembinaan jalan di bawah Projek Pan Borneo.

“JKR Sabah akan bina dua lorong jalan di sebelah jalan asal dahulu untuk laluan pengguna. Selepas itu, mereka akan bina semula jalan asal yang sudah rosak teruk itu dan kemudiannya membuka semua empat lorong jalan seperti yang dirancangkan dalam Projek Pan Borneo. Pembinaan jalan baru dijangka akan siap dalam tempoh paling cepat 18 bulan,” jelasnya.

Dalam Jelajah FTRoadpedia Sabah itu, Fadillah turun padang bagi meninjau sendiri status pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan isu penyenggaraan Jalan Persekutuan di Sabah.

Beliau meninjau di empat lokasi yang terlibat iaitu di Pakej Kerja (WP 27) – Menaiktaraf Jalan Dari Kampung Lot M ke Batu 32 Sandakan, Pakej Kerja (WP 28) – Menaiktaraf Jalan Dari Batu 32 Sandakan ke Moynod, Pakej Kerja (WP 29) – Menaiktaraf Jalan Dari Moynod ke Sapi Nangoh dan Pakej Kerja (WP 30) – Menaiktaraf Jalan Dari Sapi Nangoh ke Sungai Baoto. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.