Zuraida umum sertai PBM

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Mei : Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana percaya dengan perjuangan parti itu dan enam prinsip terasnya. 

Zuraida yang sebelum ini ahli Bersatu berkata enam prinsip itu ialah keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Berikutan itu, Zuraida berkata beliau akan berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. 

“Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri.

“Alhamdulillah, pendirian saya selaku Ahli Parlimen Ampang menyokong kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri adalah selari dengan pendirian PBM,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Selain berterima kasih kepada Ismail Sabri, Zuraida turut merakamkan ucapan sama kepada dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepercayaan mereka melantik beliau sebagai menteri Kabinet.

Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya umum ke-14 Mei 2018 oleh Dr Mahathir dan diantik semula ke jawatan sama semasa pentadbiran Muhyiddin.

Beliau dilantik ke portfolio Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas Ismail Sabri memegang jawatan nombor satu negara.   

Zuraida kini berada di Turki bagi menghadiri Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin seterusnya ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia sebelum kembali ke tanah air pada 2 Jun.

PBM yang didaftarkan pada 27 Okt 2021 diasaskan Presidennya Mohamad Sukri Yusri dan beberapa ahli politik lain selepas mengambil alih Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Turut menyertai parti tersebut ialah bekas pengasas SWP, Ahli Parlimen Julau Larry Sng yang dilantik sebagai Timbalan Presiden. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.