Unduk Ngadau bukan ratu cantik biasa

Spread the love

KOTA KINABALU, 26 Mei : Setiap tahun pada Mei, rakyat Sabah daripada pelbagai latar belakang berkumpul bagi meraikan Pesta Kaamatan iaitu perayaan khas yang disambut bagi menghormati semangat padi.

Tanggal 31 Mei pula menjadi tarikh penting sambutan Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan apabila pertandingan ratu cantik atau Unduk Ngadau menjadi acara kemuncak perayaan berkenaan.

Bagi penulis bukan berasal dari Sabah,  tanggapan pertama mengenai Unduk Ngadau adalah pertandingan ratu cantik konvensional namun sangkaan itu meleset selepas meneliti dan berbual dengan rakyat Sabah mengenai Unduk Ngadau yang disifatkan sebagai wakil membawa motif budaya Negeri Di Bawah Bayu dan masyarakat sendiri.

Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Joanna Kitingan berkata pemenang dari setiap 44 daerah akan mewakili dan membawa keunikan budaya masing-masing pada acara kemuncak Unduk Ngadau pada 31 Mei ini, sekali gus mempersembahkan budaya Sabah kepada dunia.

“Unduk Ngadau telah dianjurkan selama 62 tahun dan menjadi nadi kepada pesta Kaamatan, ia adalah pertunjukan budaya yang mana setiap daerah mempunyai budaya tersendiri seperti keunikan pakaian tradisional untuk dibawa ke pertandingan Unduk Ngadau.

“Legenda Huminodun melambangkan ketaatan, kerelaan, kesukarelawan dan pengorbanan demi kebaikan orang lain. Ini yang kita pelajari daripada Unduk Ngadau dan peserta itu sendiri dapat meningkatkan keyakinan serta menjadi lebih baik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Joanna berkata selaras tema sambutan Pesta Kaamatan tahun ini ‘Kaamatan Menjiwai Alam Semula jadi’, ia adalah penting untuk Unduk Ngadau menjadi duta dan mempromosikan kekayaan alam semula jadi sambil mengekalkannya untuk generasi masa depan.

Beliau berkata ia wajar kerana sektor pelancongan negeri telah dibuka semula dan selain alam semula jadi, agropelancongan juga menjadi titik kukuh untuk Sabah mempromosikan pelancongan, justeru peserta Unduk Ngadau boleh memainkan peranan dengan mempromosikan daerah mereka.

“Alam semula jadi adalah aset yang perlu dipelihara dan penting untuk wanita muda memahami apa yang dimaksudkan untuk memulihara aset semula jadi kita,” katanya.

Mengenai hadiah pula, beliau berkata pemenang akan menerima hadiah  bernilai RM120,000 termasuk biasiswa, wang tunai beserta hadiah iringan, diikuti naib juara RM53,000 dan tempat ketiga RM46,000 serta tempat keempat hingga tujuh turut menerima hadiah.

“Bermula sebagai perarakan dan pertandingan adat istiadat, selepas 62 tahun terdapat banyak perubahan tetapi intipatinya masih ada, menjunjung semangat Huminodun dan Unduk Ngadau masih relevan pada zaman moden dan digemari oleh rakyat Sabah yang meletakkan Unduk Ngadau pada tahap tertentu,” katanya.

Unduk Ngadau yang dulunya dikenali sebagai pertandingan warisan Kadazan-Dusun tetapi kini berkembang menjadi pertandingan untuk mempelbagaikan budaya serta warisan di Sabah, mencerminkan keterbukaan penduduk Negeri Di Bawah Bayu .

Pemenang Unduk Ngadau tahun lepas, Maya Hejnowska berkata perkara penting sebagai Unduk Ngadau adalah tanggungjawab yang datang bersama terutamanya dalam menjadi contoh kepada generasi muda Sabah dan memperkasa kaum wanita.

“Jika menang Miss Universe atau Miss World kita mewakili rakyat, begitu  juga Unduk Ngadau. Sukar untuk digambarkan, mesti berada dalam kedudukan kami untuk mengetahuinya. Ia adalah mengenai tanggungjawab kepada rakyat dan belajar untuk menjadi lebih baik.

“Selepas menjadi Unduk Ngadau, saya belajar banyak perkara seperti bertemu bobohizan (pendeta besar) belajar tentang upacara tradisional, dan dalam media sosial apabila menyiarkan gambar contohnya, saya mesti menjadi contoh teladan terutama kepada masyarakat Sabah,” kata gadis beketurunan Kadazan-Poland itu.

Beliau berharap Unduk Ngadau akan diteruskan dan menjadi platform untuk mengukuhkan perpaduan  dalam kalangan masyarakat Sabah yang memiliki kepelbagaian latar belakang. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.