Dua kanak -kanak dijangkiti HFMD dirawat di ICU – Khairy Jamaluddin

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Mei : Hanya dua kanak-kanak yang disahkan menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan di Wad Rawatan Rapi (ICU), bagi tempoh 1 Jan hingga semalam.

Menteri Kesihatan , Khairy Jamaluddin berkata , kedua-dua kes positif virus enterovirus 71 (EV71) dengan kes pertama telah beransur pulih semalam dan tidak lagi memerlukan bantuan pernafasan, namun masih dipantau di ICU manakala kes kedua masih memerlukan bantuan pernafasan tetapi dalam keadaan stabil.

“Kedua-dua kes ini positif virus enterovirus 71 (EV71). Survelan virus penyebab HFMD mendapati EV71, Coxsackie A16 (CA16) dan Coxsackie A6 (CA6) adalah virus yang pradominan (utama) yang berada dalam persekitaran Malaysia,” katanya dalam sidang media secara maya dari Geneva, hari ini.

Khairy berkata dalam tempoh 1 Jan hingga semalam, sebanyak 57,510 kes HFMD telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 24 kali ganda bagi tempoh yang sama pada 2021 (semasa pandemik) iaitu 2,333 kes.

Namun, katanya, jika dibandingkan dengan tempoh yang sama sebelum pandemik COVID-19 pada 2019, peningkatan kes pada tahun ini adalah sebanyak 27,664 kes; iaitu hampir sekali ganda

“Peningkatan kes ketara berlaku sejak April 2022 berikutan pembukaan aktiviti sosial, termasuk sesi kehadiran penuh sekolah, taska, tadika dan tabika. Selain itu, kebersihan diri yang tidak terjaga terutama amalan mencuci tangan, penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka boleh menyebabkan berlakunya jangkitan HFMD.

“Peningkatan kes ini semakin memuncak pada minggu epid (ME) 20/2022 (15 hingga 21 Mei) dan ME21/2022 (22 hingga 28 Mei) disebabkan oleh aktiviti sosial semasa sambutan Hari Raya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata lima negeri yang mempunyai bilangan kes tertinggi adalah Selangor dengan 16,286 kes atau 28.32 peratus, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 7,298 kes (12.69 peratus), Perak 5,045 kes (8.77 peratus), Kelantan 4,194 kes (7.29 peratus) dan Sabah 3,829 kes (6.66 peratus).

Katanya kes paling banyak dilaporkan adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, iaitu 52,846 kes (92 peratus) manakala kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun adalah seramai 3,741 kes atau 7 peratus.

Beberapa langkah kawalan dan pencegahan HFMD telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah antaranya pemeriksaan, penutupan dan basmi kuman premis, persampelan klinikal, pendidikan kesihatan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.