Muhyiddin akan kemuka nama baharu ganti Zuraida sebagai menteri

Spread the love

KUCHING, 26 Mei : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengemukakan ‘nama baharu’ kepada Perdana Menteri sebagai menteri susulan tindakan Datuk Zuraida Kamaruddin keluar parti itu.

Menerusi kenyataan media malam ini, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu perlu kerana Ahli Parlimen Ampang itu sebelum ini dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi atas ‘kuota’ Bersatu.

Muhyiddin pada masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada Zuraida di atas sumbangannya kepada parti itu namun mengambil peluang menjelaskan ‘situasi sebenar’.

“Baru – baru ini kedudukan Zuraida dibincangkan dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Bersatu setelah terdapat laporan beliau terlibat secara langsung dalam penubuhan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti itu,”katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, susulan itu surat tunjuk sebab telah diberikan kepada Zuraida pada 9 Mei yang telah dijawab Isnin lepas.

“Namun memandangkan beliau telah mengumumkan menyertai PBM hari ini, maka keahliannya telah gugur mengikut perlembagaan parti,”katanya.

Hari ini Zuraida yang berada di Turki atas urusan kerja menerusi kenyataan mengumumkan beliau menyertai PBM kerana percaya dengan perjuangan parti itu.

Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya umum ke-14 Mei 2018 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan dilantik semula ke jawatan sama semasa pentadbiran Muhyiddin.

Beliau dilantik ke portfolio Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas Datuk Seri Ismail Sabri memegang jawatan nombor satu negara.   -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.