PJKM di 222 kawasan parlimen rekod jualan cecah RM54 juta – Alexander Nanta

Spread the love

PUTRAJAYA, 25 Mei : Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) berjaya dilaksanakan di semua 222 kawasan Parlimen seluruh negara termasuk kawasan pembangkang yang meliputi 1,702 lokasi dengan purata tujuh lokasi setiap kawasan Parlimen.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, seramai 2.796 juta pengunjung mengunjungi program itu dengan rekod hasil jualan mencecah RM54.548 juta sejak ia dilancarkan pada 2 Disember lepas.

Nanta berkata sepanjang program itu, pelbagai barangan keperluan harian dijual pada harga istimewa sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat dan yang menjadi tumpuan ialah ayam segar, telur ayam, minyak masak, gula, tepung serta sayur-sayuran.

“Perancangan awal pelaksanaan PJKM adalah sehingga 31 Mac sahaja, bagaimanapun atas permintaan ramai, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju supaya PJKM dilanjutkan sehingga Jun 2022,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nanta berkata PJKM merupakan usaha kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Ia dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Lembaga Pertubuhan Peladang. 

Ia turut disokong 240 rakan strategik daripada pemain industri peruncitan terdiri daripada pasar raya besar, pasar raya, pembekal dan pemborong. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.