DUN Sarawak : RM500 ribu modal perniagaan ibu tunggal dan wanita

Spread the love

KUCHING, 25 Mei : Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri diberi peruntukan sebanyak RM500 000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk membantu ibu tunggal dan ketua isi rumah wanita di Sarawak memulakan perniagaan.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan mikro itu diberikan dalam bentuk tunai sebagai modal perniagaan.

Katanya, kementerian juga menyediakan pelbagai latihan dan kursus kemahiran jangka pendek secara bersemuka dan dalam talian untuk meningkatkan ekonomi ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah.

“Menerusi pengupayaan kapasiti ekonomi wanita, kementerian telah melaksanakan program Bounce Back Your Businesses yang mengandungi tiga komponen utama iaitu pemasaran, motivasi dan pembungkusan produk untuk golongan sasar,”katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, sepanjang 2021 hingga 22 Mei lepas, sebanyak lapan sesi telah dilaksanakan secara dalam talian, bersemuka dan hibrid.

“Program di Kuching, Samarahan, Betong, Serian, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu yang telah memanfaatkan seramai 188 orang peserta.

“Kementerian kami komited untuk memperkasakan wanita dan mengekalkan institusi keluarga melalui inovasi sosial yang inklusif,”katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.