Sasar 76 jam bermukun tanpa henti, catat Malaysia Book of Record

Spread the love

KUCHING, 24 Mei: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dengan kerjasama Jabatan Penyiaran (RTM) Sarawak akan melaksanakan program “Juh Bermukun 76 Jam tanpa Henti” dalam cubaan untuk mencatat sejarah dalam “The Malaysia Book of Records”.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penggerak-penggerak seni memainkan peranan yang mustahak dalam membawa adat bermukun ke peringkat Nusantara.

“Menjadi tanggungjawab kita dan mereka yang merupakan penggerak seni seperti ini untuk terus mempopularkan seni ini ke peringkat yang lebih besar”, katanya semasa menghadiri Sidang Media Juh Bermukun di sini hari ini.

Menurut Abdul Karim, penerbitan program ini adalah untuk menarik minat golongan muda sebagai pewaris seterusnya memastikan budaya bermukun ini tidak mati ditelan zaman.

Selain itu, ia juga sebagai tanda penghargaan dan dorongan kepada pemuzik dan pemantun tempatan untuk terus mengetengahkan pantun tradisi Sarawak.

Program bermukun selama 76 jam ini disertai 76 peserta yang melibatkan pemukun dari beberapa daerah di Sarawak dan juga pemukun dari Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

76 JAM BERMUKUN TANPA HENTI, BAKAL CATAT MBR

Program-program yang berteraskan kesenian dan kebudayaan seperti ini berpotensi meningkatkan industri pelancongan negeri sejajar dengan sasaran kerajaan negeri untuk menerima 1.2 juta pelancong katanya lagi.

Persembahan tersebut akan disiarkan secara langsung tanpa henti sepanjang 76 jam di laman media sosial Facebook RTM Sarawak dan di Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching bermula 27 Mei hingga 30 Mei 2022 bermula jam 5 petang.

Untuk rekod, program bermukun seperti ini pernah diadakan pada tahun 2004 dengan catatan 50 Jam Tanpa Henti – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.