Kuching City ‘terkedu’ dibelasah 5-1 Terengganu II

Spread the love

KUCHING, 24 Mei : Kuching City FC gagal meneruskan rentak cemerlang dalam tiga perlawanan sebelum ini apabila tewas dengan jaringan besar 1-5 kepada Terengganu FC II di Stadium Negeri Petra Jaya, di sini sebentar tadi.

Jadual padat jelas dilihat mula memberi kesan kepada skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang masih segar dengan kejayaan mara ke suku akhir Piala FA 2022 pada minggu lalu.

Pelawat membuka akaun jaringan menerusi Jordan Mintah pada minit ke-16 diikuti tambahan jaringan oleh Hakimi Abdullah pada minit ke-21 dan 31.

Tersentak dengan serangan Sang Penyu, Kuching City FC mula menunjukkan semangat melawan apabila Alif Hassaan berjaya mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-34.

Bersambung babak kedua, malang terus menimpa skuad tuan rumah apabila Mazwandi Zekeria tertendang bola ke gawang sendiri pada minit ke-84.

Mintah sekali lagi membuktikan bisanya apabila menambah derita tuan rumah dengan jaringannya pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Kuching FC sebelum ini cemerlang menewaskan UiTM FC 2-0 di tempat lawan pada 7 Mei lepas sebelum diikuti kejayaan menyingkirkan Perlis United 3 -0 di Kangar pada 17 Mei.

Empat hari lepas, skuad The Cat meraih satu mata apabila seri 0-0 dengan Kelantan United di Shah Alam.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan, Kuching City FC kini di tempat kelima carta liga dengan memungut 11 mata hasil tiga kemenangan, dua seri dan dua kekalahan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.