DUN Sarawak : Sarawak rekod 93,539 pergerakan penerbangan setakat suku pertama 2022

Spread the love

KUCHING, 24 Mei : Sarawak merekodkan pergerakan penerbangan pesawat sebanyak 93,539 dan 3.56 juta pergerakan penumpang ke semua lapangan terbang di negeri ini.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata rekod berkenaan adalah dari tempoh 2021 hingga suku pertama tahun 2022.

“Dalam tempoh yang sama, sejumlah 82.3 juta kilogram pergerakan kargo telah direkodkan di semua lapangan terbang Sarawak termasuk STOLports,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan oleh Para Menteri pada Hari Keenam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan setakat ini, jumlah penerbangan mingguan yang diluluskan ke Sarawak ialah 619 penerbangan yang terdiri daripada 33 penerbangan antarabangsa dan 586 penerbangan domestik.

Jelas Kim Shin lagi, kementeriannya akan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa yang relevan untuk mengkaji kemungkinan meningkatkan kekerapan penerbangan terutamanya semasa musim perayaan dan meluaskan liputan penerbangan ke destinasi antarabangsa lain di rantau ini.

“Malah, saya sendiri telah berjumpa dan membincangkan cadangan ini dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tersebut iaitu AirAsia Berhad, Malindo Airways Sdn Bhd, FlyFirefly Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad dan MasWings Sdn Bhd.

Kementerian saya juga akan membuat langkah yang sama untuk mengadakan perbincangan dengan Scoot Tigerair Private Limited dan Royal Brunei Airlines Sdn Bhd mengenai cadangan yang sama.” katanya lagi.

Sementara itu, fasiliti di lapangan terbang di Sarawak termasuk STOLports akan di naik taraf dan akan dilaksanakan dengan kerjasama Malaysia Airport Holdings Berhad, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.