DUN Sarawak : Kerajaan Sarawak terus komited mantapkan jentera perkhidmatan pentadbiran

Spread the love

KUCHING, 24 Mei: Kerajaan Sarawak akan terus komited untuk memantapkan jentera perkhidmatan pentadbiran di setiap Bahagian, Daerah dan Daerah Kecil seluruh Sarawak, kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera), Datuk John Sikie Tayai.

Jelasnya, ia bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dapat dilaksanakan secara efektif dan berkesan.

Dalam pada itu, John Sikie berkata, kerajaan mengambil maklum terhadap cadangan untuk menaiktaraf Daerah Daro dan Belaga sebagai sebuah pentadbiran Bahagian yang baharu dan kawasan Tubau sebagai Pusat Pentadbiran Daerah Kecil baharu di Belaga.

Bagaimanapun setakat ini kerajaan belum mempunyai perancangan untuk menaiktaraf kawasan-kawasan tersebut .

“Justeru, penyampaian perkhidmatan kerajaan bagi masyarakat di kawasan berkenaan akan terus ditadbir urus oleh pentadbiran Bahagian dan Daerah Kecil sedia ada masing-masing,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan hari eenam, Mesyuarat Kedua bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Ke-19, di sini hari ini.

Sementara itu, bagi isu yang dibangkitkan mengenai Kompleks Pentadbiran Bertingkat di Daerah Daro, beliau menjelaskan, pada masa sekarang tiada perancangan untuk membina sebuah kompleks pentadbiran bertingkat di daerah Daro.

“Namun begitu, kerajaan akan terus menyediakan peruntukan bagi menyelenggara pejabat dan kuarters di setiap Bahagian, Daerah dan Daerah Kecil bagi memastikan kondisi pejabat dan tempat kediaman kakitangan awam berada di tahap yang terbaik.

“Pada masa yang sama juga, saya ingin mengesa Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan keperluan pejabat bagi agensi-agensi Persekutuan terutama sekali di pentadbiran Daerah Daro,” ujarnya lagi.

Manakala pembinaan bangunan baharu Pejabat Daerah Pusa yang telah bermula pada Mac lepas dijangka siap pada Januari 2024.
Skop projek bagi bangunan baharu tersebut adalah merangkumi pejabat pentadbiran, Pejabat Perbendaharaan Kecil, Mahkamah Bumiputera Sarawak, Bilik Ketua Masyarakat, kemudahan am seperti bilik mesyuarat, galeri sebaguna, tandas dan surau.

Tambahnya lagi, bagi cadangan pembinaan kuarters dan Pejabat Pentadbiran baharu yang bersepadu di Simunjan akan dikemukakan untuk pertimbangan sebagai projek dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

Pada 2022 sejumlah RM300,000 peruntukan disediakan untuk tujuan penyelenggaraan bangunan-bangunan kediaman di daerah Simunjan dan RM100,000.00 bagi tujuan memotong rumput, membersihkan longkang dan memotong pokok. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.