Dakwaan pembangkang ART agenda politik tidak berasas – Lee Kim Shin

Spread the love

KUCHING, 24 Mei: Pelaksanaan projek sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Sarawak bukan satu agenda politik.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, dakwaan ADUN Pending Violet Yong Wui Wui yang mendakwa ia adalah keputusan politik tidak berasas sama sekali.

Tegas Lee, idea untuk memodenkan sistem pengangkutan awam bandar di Sarawak telah dicetuskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2009, yang ketika itu memegang jawatan Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar.

“Malah, beliau juga sudah memikirkan lebih awal tentang cara menambah baik dan memodenkan sistem pengangkutan di Sarawak khususnya di Kuching. 

“Oleh itu, dakwaan ADUN Pending bahawa ia adalah keputusan politik sejak beliau memegang jawatan Premier Sarawak adalah tidak berasas,” katanya menerusi ucapan penggulungannya pada sesi petang hari keenam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini hari ini.

PROJEK ART BUKAN AGENDA POLITIK

Tambahnya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya akan melaksanakan projek-projek utama selepas kajian dijalankan dan projek ART perlu diteruskan bergantung kepada kebolehlaksanaan kewangan dan teknikal.

Kajian kebolehlaksanaan sistem pengangkutan bandar Kuching telah dijalankan pada 2017 oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan telah siap pada 2018. Kajian itu telah menyimpulkan bahawa Bandaraya Kuching sememangnya memerlukan satu sistem pengangkutan bandar yang lebih baik dan berkesan katanya lagi.

Terdahulu, Yong mempersoalkan sistem yang diguna pakai untuk projek ART yang dikendalikan oleh Sarawak Metro Sdn Bhd. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.