Anggota APMM ditahan bantu siasatan cederakan isteri

Spread the love

KUCHING, 24 Mei : Polis mengesahkan seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak ditahan bagi membantu siasatan kes mencederakan isterinya.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 23 tahun juga dipercayai telah melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit isterinya.

Katanya, kes berkenaan merupakan ‘kes lama’ berdasarkan laporan polis yang dibuat pada Disember tahun lepas dan Januari tahun ini.

“Suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang ingin membawa anak mereka bermalam di hotel untuk menenangkan fikiran sehingga mendatangkan pergelutan sesama mereka,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Ahsmon memberitahu, dalam kejadian berlainan, suspek juga telah memecahkan telefon bimbit isterinya akibat tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya ingin menggunakan wang Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKKS) untuk membeli susu anak mereka yang berusia lima bulan ketika kejadian.

Perkembangan siasatan kes berkenaan kata Ahsmon menyaksikan kertas siasatan dibuka secara berasingan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18 A , Akta Keganasan Rumah Tangga.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Sarawak untuk tindakan lanjut,”katanya.

Sementara di Twitter, seorang pemilik akaun @Nabilahismah memuat naik beberapa hantaran dipercayai berkaitan kes ini semalam sehingga tular apabila diulang ciap lebih 15 000 kali.

Wanita itu mendakwa, dia pernah menarik laporan polis yang dibuatnya atas desakan orang sekeliling.

Selain turut berkongsi ‘gambar kecederaannya’, wanita itu juga menceritakan kronologi kes dengan suspek yang kini merupakan bekas suaminya.

Akaun Twitter berkenaan kini telah dinyahaktif.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.