Kakak trauma lihat adik diterkam buaya

Spread the love

KUCHING, 22 Mei : Seorang kakak tergamam menyaksikan kejadian ngeri adik bongsunya diterkam seekor buaya di Kampung Nyabut,Telaga Air, di sini pagi semalam.

Nur Juliana Moktar berkata, sebelum kejadian, adiknya, Mohammad Adammi yang berusia tujuh tahun menemaninya mengambil air di sungai yang terletak hanya 10 meter dari rumah mereka.

Katanya, ketika kejadian, adiknya duduk tidak jauh dari tebing sungai.

“Secara tiba – tiba seekor buaya muncul dan menerkam bahagian kepala, adik tidak berdaya untuk melawan, saya hanya mampu menjerit memanggil nenek dan meminta tolong,”katanya ketika ditemui TVS di sini hari ini.

Baca >>>  Kanak-kanak lelaki dibaham buaya ketika mengambil air di sungai

Dalam kejadian kira – kira pukul 8.30 pagi semalam, Mohammad Adammi ‘hilang’ selepas diserang buaya.

Bibah Harump masih terkejut dengan kejadian yang menimpa cucunya pagi semalam. Foto TVS.

Susulan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sehingga petang semalam namun masih belum menemui sebarang petunjuk.

Hari ini operasi SAR melibatkan rondaan sepanjang lima kilometer (KM) di sungai berkenaan dilakukan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bersama seekor anjing Unit K9,Bella.

Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba I, Yusri Basri memaklumkan, sehingga pukul 1 petang tadi, tiada petunjuk baharu ditemui.

Sementara itu, nenek mangsa, Bibah Harump berkata, cucunya mula menunjukkan kelakuan ‘pelik’ sejak seminggu lepas.

Katanya, Mohammad Adammi sering bercakap tentang kematian namun dia tidak mengesyaki perkara buruk.

“Beberapa hari sebelum kejadian , cucu saya sering bangun awal pagi dan minta untuk minum air,”katanya sebak ketika ditemui TVS di rumahnya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.