Sarawak sasar 60 peratus pelajar aliran STEM

Spread the love

PADAWAN, 21 Mei: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak berhasrat menghasilkan lebih ramai penyelidik dan graduan berkemahiran tinggi di negeri ini.

Menterinya, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, melalui usaha ini, Sarawak akan dapat mencapai aspirasi untuk menjadi kluster inovasi global menjelang 2030.

“Saya melihat bahawa terdapat potensi untuk Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) menyumbang kepada peranan ini melalui program latihan pelajar industrinya.

“Selain itu, ia juga dapat menjadi pusat pertukaran saintis untuk mempromosikan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Hari Biodiversiti 2022 dan Majlis Menandatangani Perjanjian Faedah (BSA) di SBC, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak merangkap Pengerusi Pusat Biodiversiti Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan Timbalan Residen Program Pembangunan Negara-negara Bersatu, (UNDP) Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Manon Bernier.

Tambah Roland Sagah ketika ini, dianggarkan hanya kira-kira 30 peratus pelajar di Sarawak mendaftar di bawah aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Justeru katanya, negeri ini perlu mencapai sebanyak 60 peratus daripada jumlah pelajar yang mengambil aliran STEM bagi melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani perkongsian faedah di antara pihak Majlis Biodiversiti Sarawak dan enam komuniti di bawah projek LitSara yang melibatkan kaum Bidayuh, Kelabit dan juga Lun Bawang. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.