Sarawak berhak ke atas ruang udaranya – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 21 Mei : Tindakan Kerajaan Sarawak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah diluluskan adalah kerana negeri ini percaya mereka turut mempunyai hak terhadap ruang udaranya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kajian berhubung perkara itu telah dilakukan oleh peguam yang dilantik kerajaan negeri sejak tiga tahun lepas.

Bagaimanapun katanya setakat ini belum ada keputusan muktamad.

“Ini undang-undang biasa, melainkan jika terdapat wilayah undang-undang antarabangsa yang ingin menggunakan ruangan itu.

“Sama seperti penerbangan, bermakna anda memiliki ruangan itu, itulah sebabnya undang-undang itu diluluskan di DUN kerana ia berdasarkan undang-undang biasa,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ke-25 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden SUPP, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Abang Johari berkata, apa yang berlaku susulan kelulusan RUU berkenaan kini menyaksikan ruang udara Sarawak menjadi miliknya.

“Apabila ia sudah menjadi harta kita, sudah tentu orang luar perlu memohon kebenaran kerajaan negeri untuk menggunakan ruang udara kita, betul tidak?,” katanya.

Rabu lepas, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 yang membolehkan kerajaan Sarawak mengawal ruang udara di atas wilayahnya.

Pindaan RUU itu juga membolehkan kerajaan Sarawak menyelia dan mengawal penggunaan tanah di daratan dan luar pesisir termasuk dasar laut yang membentuk pelantar benua.

Pindaan itu dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada persidangan hari ke-2 DUN Sarawak.

Sharifah Hasidah dalam pembentangannya berkata, RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 antara lain memberi definisi baharu bagi istilah ‘tanah’ agar seiring dengan terjemahan yang disediakan dalam undang-undang lain di Malaysia seperti Kanun Tanah Negara.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.