TVS dan SEGi College Sarawak bekerjasama lahir bakat penyiaran berkualiti

Spread the love

KUCHING, 20 Mei : SEGi College Sarawak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sarawak Media Group (SMG) hari ini untuk melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang komunikasi dan penyiaran.

Pengetuanya, Dr Susie Lau Meng Ching berkata, TVS di bawah SMG yang merupakan stesen televisyen pertama milik Sarawak merupakan organisasi yang sesuai untuk berkongsi kepakaran dengan pelajar kolej berkenaan.

Katanya, SEGi College percaya kerjasama ini mampu melahirkan modal insan yang kreatif dan seterusnya mengisi keperluan industri penyiaran negara.

“Saya berpendapat sangat penting bagi SEGi College untuk membawa amalan sebenar dunia penyiaran ke dalam bilik kuliah bagi menyokong usaha kami melahirkan graduan yang cekap dan berkualiti,” katanya selepas majlis berkenaan di sini hari ini.

Keperluan kerjasama dengan pihak industri ujar Meng Ching adalah bagi memastikan pelajar tidak hanya duduk dalam bilik kuliah belajar mengenai teori sahaja tanpa memahami realiti sebenar pekerjaan di lapangan.

Oleh sebab itu katanya, kerjasama dengan TVS dan SMG sangat mustahak untuk memberi nilai tambah kepada bakal graduan yang dihasilkan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Suhaimi Sulaiman menyifatkan kerjasama ini boleh mengembangkan bakat baharu dalam komuniti.

“Kami di SMG dan TVS sangat terbuka kepada sebarang bentuk kerjasama dengan institut pengajian tinggi.

“Ini kerana SMG percaya semakin banyak usaha strategik dirintis, kita boleh mengembangkan komuniti,” katanya.

SEGi COLLEGE SARAWAK – TVS JALIN KERJASAMA

TVS merupakan cetusan idea Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan disokong oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Stesen ini diketuai Suhaimi yang berpengalaman luas dalam bidang penyiaran negara serta pernah mengetuai operasi sebuah stesen televisyen swasta lain sebelum ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.