Isteri tergamam lihat suami dipukul hingga mati di Balai Ringin

Spread the love

KUCHING, 20 Mei : Seorang isteri berdepan detik hitam apabila melihat suaminya dipukul oleh sekumpulan lelaki sehingga tidak sedarkan diri dalam kejadian di Balai Ringin, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, dalam kejadian pada pukul 4 petang semalam, wanita berbangsa Iban itu sedang menidurkan anak mereka.

Aswandy berkata, wanita itu yang terdengar jeritan suaminya di luar rumah terus bergegas keluar .

“Dia melihat suaminya dipukul sekumpulan lelaki pada kedudukan kira -kira 50 meter dari rumahnya.

“Apabila sampai di situ, wanita berkenaan mendapati suaminya terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Aswandy memberitahu, wanita itu kemudian membawa suaminya ke klinik di Balai Ringin untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut dan polis menerima maklumat mangsa telah meninggal dunia pukul 8.45 pagi tadi,”katanya.

Katanya, pada pukul 5 petang tadi, polis telah menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

“Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif kejadian,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.