DUN Sarawak : Pengusaha bot digesa kemuka permohonan bersubsidi

Spread the love

KUCHING, 20 Mei : Pengusaha bot kecil digesa untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan diesel bersubsidi dan kelonggaran bagi menggunakan skid tank kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Timbalan Menteri Pengangkutan II, Dato Henry Harry Jinep berkata, subsidi berkenaan bertujuan untuk membantu mengurangkan kos pengoperasian bot ekspres serta memberi manfaat kepada penumpang.

“Kementerian Pengangkutan Sarawak melalui Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah mengadakan dialog pada 29 April lepas.

“Isu utama yang dibangkitkan ialah berkaitan peningkatan kos operasi dan penggunaan skid tank,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Paulus Palu Gumbang (GPS -Batu Danau) berkenaan cadangan subsidi kerajaan bagi meringankan beban ditanggung oleh pengusaha bot ekspres.

Henry menambah, kementerian menerusi LSS dengan kerjasama KPDNHEP, Jabatan Laut Wilayah Sarawak dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bakal membantu pengusaha bot ekspres berhubung permohonan diesel bersubsidi dan kelonggaran penggunaan skid tank.

Ketika ini katanya, perkhidmatan pengangkutan air bagi sektor Limbang – Lawas – Limbang ditawarkan oleh Express Ratu Pertama No.2 dan Express Pertama Limbang.

“Kadar tambang bot ekpres sehala yang ditetapkan untuk sektor Limbang- Lawas adalah sebanyak RM35 untuk penumpang dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.