Banyak perkara boleh ditawarkan Malaysia kepada syarikat penerbitan luar – penerbit

Spread the love

CANNES (Perancis), 18 Mei : Malaysia boleh menawarkan pelbagai perkara kepada syarikat penerbitan luar negara yang dapat menarik mereka untuk membuat penggambaran filem mereka di Malaysia kata Penerbit dan Pengarah Syarikat Biscuit Film Bill Donovan.

Beliau berkata Malaysia mempunyai infrastruktur yang amat baik, lokasi yang fantastik daripada bandar yang moden sehingga ke bandar Warisan Dunia UNESCO selain krew penggambaran yang dedikasi dan berpengalaman yang boleh ditawarkan kepada syarikat prodduksi luar negara.

“Malaysia boleh tawarkan banyak perkara yang ada dalam senarai semak penerbit. Makanan Malaysia satu tarikan besar dan tambahan pula dengan cara hidup Malaysia,” katanya kepada media selepas persidangan bertajuk ‘The Heartbeat Of Asia’ bersempena Marche Du Film 2022 di sini hari ini.

Donovan merupakan salah seorang daripada penceramah pada persidangan itu di samping Ketua Pengawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) Prof Dr Md Nasir Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Malaysia Studio (IMS) Rashid Karim dan Pengurus Besar Base FX Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Beliau berkata rebat 30 peratus yang ditawarkan menerusi Insentif Filem Malaysia (FIMI) dan tambahan lima peratus lagi rebat ‘cultural test’ merupakan satu idea yang bagus oleh kerajaan yang merupakan satu tarikan untuk lebih banyak syarikat produksi luar negara untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi penggambaran mereka.

“Kami telah menggunakan insentif ini dengan jayanya sejak ia dimulakan. Sehingga sekarang setiap projek telah tanpa gagal menerima wang tersebut.

“Saya rasa ia satu insentif yang bagus, pada kadar 30 peratus, ia agak banyak untuk perbelanjaan tempatan anda termasuk wang anda dan krew yang membuatkannya satu insentif yang amat menarik,” katanya.

Bagaimanapun Donovan berkata kerajaan perlu meningkatkan kempen kesedaran mengenai program itu, kerana masih ramai pihak yang perlu tahu mengenai Malaysia dan apa yang dapat ditawarkan untuk mereka.

“Itu suatu perkara yang penting di mana kita perlu maklumkan kepada orang ramai mengenai apa yang Malaysia boleh tawarkan dari segi budaya, makanan, cuaca, lokasi dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Md Nasir mengakui kekurangan promosi menjadi punca mengapa banyak penerbit tidak tahu tentang wujudnya rebat tunai menerusi FIMI.

Beliau berkata FINAS akan mempergiatkan lagi promosi melalui platform seperti media sosial, akhbar dan aktiviti tertentu selain menyertai beberapa pasaran filem antarabangsa dalam masa terdekat.

“Kita akan menyertai tidak kurang tiga pasaran antarabangsa dalam masa terdekat sehingga tahun depan. Dengan penyertaan kita di pasaran antarabangsa ini, sebenarnya kita bukan sahaja dapat memperluaskan filem kita ke luar negara, tetapi juga melalui filem tersebut dapat memperkenalkan negara kita yang mempunyai pelbagai bangsa, budaya dan cara hidup.

“Kita juga melalui FIMI sebenarnya mengharapkan ekonomi negara dapat ditingkatkan melalui penggambaran yang dibuat di Malaysia, kerana setiap perbelanjaan yang dibuat di Malaysia merupakan pendapatan kepada negara. Ini yang akan kita tingkatkan dari segi promosi, tidak hanya menunggu penyertaan barulah kita nak buat promosi,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.