DUN Sarawak : Pohon permit laluan terhad sebelum mulakan projek pembinaan

Spread the love

KUCHING 19 Mei: Kelulusan permit jalan serta permit laluan terhad perlu diperolehi sebelum sebarang proses pembinaan boleh dimulakan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Len Talif Salleh berkata, permit berkenaan penting bagi memastikan aktiviti pembinaan dapat dipantau dan tidak mengugat kesejahteraan penduduk serta dapat meminimumkan gangguan kepada penduduk setempat.

“Kelulusan diberikan oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya bagi memudahkan kerja pengangkutan bahan batuan dan bahan binaan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Fazzrudin Abdul Rahman (GPS -Tupong) berkenaan dengan aspek pematuhan peraturan dan syarat yang telah ditetapkan, Len Talif menjelaskan, pemantauan seperti lawatan serta siasatan pematuhan akan dilakukan oleh agensi-agensi seperti Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dan Jabatan Tanah dan Survey Bahagian.

Katanya, kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Survei dan agensi penguatkuasa yang lain sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan arahan pemberhentian kerja akan dikeluarkan jika didapati melanggar peraturan.

Ketika menjawab soalan asal Fazzrudin, Len Talif turut memaklumkan bahawa sejak 2018 hingga April 2022, kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 12 projek perumahan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong dengan jumlah rumah kediaman sebanyak 1,209 unit.

“Sebanyak 540 unit daripada rumah tersebut merupakan rumah mampu milik jenis SPEKTRA Lite, SPEKTRA Medium, PUTERA dan Sri Pertiwi,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.