Bahasa Melayu Sarawak dan Iban ‘bergabung’ dalam filem Janda Kampung Durian

Spread the love

KUCHING, 19 Mei : Membaca tajuknya sahaja, sudah pasti kita membayangkan babak – bakal kelakar ‘mengusik’ janda muda di sebuah kampung bakal disajikan dalam filem ini.

Persoalannya benarkah itu inti pati filem yang dibikin sepenuhnya di Kota Samarahan ini.

Jawapannya, anda perlu menonton filem Janda Kampung Durian yang mula ditayangkan esok selama tiga hari di Panggung Eksperimen, Univerisiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan bermula pukul 8 malam untuk mengetahui kesudahan watak janda itu.

Filem arahan pengarah muda Walid Ali yang juga seorang Pensyarah Seni Persembahan Kolej Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Perdana ini turut membariskan pelakon berbakat besar.

Antaranya Haziq Fadhullah, Rajap Pawi,Diana Tan Rushelle Bilong, Shahrulamyra Mohammad, Dahiri Saini, Felix Agustus, Fizi Juma’at, Christopher Chupung, Daniel Dahiri, Zulfaqqar Zubir, Muneerism, Akmal Faiz dan Syed Atiq.

Walid berkata, dia mahu menampilkan identiti Bumi Kenyalang melalui penggunaan Bahasa Melayu Sarawak dan Bahasa Iban dalam filem ini.

Menurut anak jati Matu ini, filem ini sangat istimewa kerana dihasilkan bersama komuniti tempatan manakala hasilnya boleh ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

“Saya harap semua yang menonton kelak dapat memahami filem ini kerana jalan ceritanya tidak terlalu sukar,”katanya.

Berhubung kelainan ditampilkan dalam karya berkenaan, Walid berkata, elemen itu disuntik secara halus melalui watak-watak yang ditulis.

Dia turut mendedahkan tempoh masa selama 20 hari diperlukan untuk penggambaran disiapkan manakala pembikinan idea pada peringkat awal mengambil masa empat bulan.

“Idea asal ini kita dapat ketika melepak di kedai kopi sambil bersembang dengan kawan – kawan,”katanya.

Beliau turut berharap agar lebih ramai pengarah Sarawak dapat menghasilkan filem tempatan agar budaya menonton filem dapat dikembangkan.

Kepada yang ingin menempah tiket bagi menonton filem ini, anda boleh menghubungi 011-1872 2807 atau melayari pautan https://forms.gle/Lbch7Ld9r64jUCvk9 atau mengimbas kod pada poster filem ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.