Sukan SEA : Malaysia hilang gelaran Raja Pecut Asia Tenggara

Spread the love

HANOI, 18 Mei : Skuad olahraga Malaysia gagal mempertahankan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara pada Sukan SEA ke-31 di sini, selepas penyertaan Muhammad Azeem Fahmi dibatalkan pada saringan kedua acara 100m di Stadium Nasional My Dinh di sini.

Atlet berusia 18 tahun itu tidak dibenarkan untuk meneruskan cabaran apabila didapati waktu reaksinya 0.058 saat lebih awal sebelum pistol pelepasan dibunyikan dan kakinya tidak menjejak blok permulaan ketika tembakan pistol.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan Manshahar Abdul Jalil berkata beliau telah mengambil inisitiaf untuk melakukan protes bertulis ke atas pembatalan Muhammad Azeem dengan meminta pengadil dan pegawai teknikal (TD) memberikan penjelasan dan laporan peralatan teknikal.

“Setelah dijelaskan oleh referee dan TD, bukti menunjukkan Azeem bertindak lebih awal dengan kakinya tidak menjejak blok permulaan ketika tembakan pistol. Tiada apa-apa kontroversi, Azeem juga telah melihat bukti tersebut.

“Apa yang penting sekarang ialah Azeem tidak putus asa, beliau masih muda, tadi saya minta para jurulatih untuk tenangkannya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau turut berharap pada edisi Sukan SEA Kemboja tahun depan dan edisi-edisi akan datang, Muhammad Azeem akan membuktikan bahawa dia adalah atlet pecut terbaik negara.

Sementara itu, Muhammad Azeem yang sangat kecewa kerana tidak dapat mara ke final pada penampilan pertamanya di temasya dwitahunan itu, berjanji untuk kembali lebih kuat pada masa akan datang.

“Saya rasa ia tak patut berlaku, mungkin bukan rezeki saya untuk Sukan SEA kali ini. Matlamat saya adalah untuk layak ke final, tapi semuanya bukan hari ini… satu hari nanti saya akan kembali,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi atlet pecut negara Muhammad Arsyad Md Saat mengalami kecederaan pangkal paha ketika saringan pertama acara itu dan menamatkan saingan pada kedudukan keenam dengan catatan 10.69s.

Dalam pada itu, pelari muda berusia 16 tahun yang digelar ‘Thai Wonderkid’ Puripol Boonson muncul Juara Pecut Asia Tenggara dengan catatan 10.44 saat (s), manakala rakan sepasukannya Soraoat Dapbang (10.56s) meraih perak dan Marc Brian Louis dari Singapura membawa pulang gangsa (10.56s) berdasarkan ‘photo finish’.

Malaysia mengungguli acara riben biru itu bagi dua edisi sebelum ini menerusi Khairul Hafiz Jantan pada 2017 di Kuala Lumpur dan Muhammad Haiqal Hanafi di Filipina pada 2019.

Sementara itu dalam acara 100m wanita menyaksikan dua wakil negara menduduki dua tempat terakhir, dengan Azreen Nabila Alias (11.99s) menamatkan larian di tempat ketujuh, manakala Zaidatul Husniah Zulkifli (12.11s) di tempat kelapan.

Kayla Anise Richardson (11.60s) dari Filipina muncul juara, manakala wakil Singapura Veronica Shanti Pereira (11.62s) dan Supanich Poolkerd (11.66s) dari Thailand masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.