Kedah mohon eksport ketum secara sah ke Thailand untuk perubatan

Spread the love

ALOR SETAR, 18 Mei : Kertas cadangan berkaitan permohonan mengeksport daun ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah telah siap dan akan diperhalusi dalam masa terdekat.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kertas cadangan itu akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang kemungkinan pada minggu hadapan untuk dibentangkan sebelum ia dihantar kepada kerajaan Persekutuan.

“BPEN maklum kertas cadangan itu sudah disiapkan tetapi saya sendiri masih belum lihat lagi. Mungkin minggu hadapan ia akan dibawa masuk dalam mesyuarat untuk dibincangkan sebelum pemohonan berkenaan dapat dihantar.

“Kita mohon sahaja, kerajaan Persekutuan akan pertimbangkan kebenaran untuk eksport dengan dalil yang ada dalam kertas cadangan itu dan kalau kerajaan Persekutuan kata ‘tidak sama sekali’, memang ‘tidak sama sekalilah’. Tiada jalan juga, jadi kita kena tunggu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung kertas cadangan dibuat oleh BPEN untuk mengeksport daun ketum ke negara luar yang akan dihantar kepada kerajaan Persekutuan.

Pada Mac lepas, Muhammad Sanusi mencadangkan kerajaan Persekutuan supaya dapat membenarkan kegiatan mengeksport daun ketum ke luar negara terutamanya ke Thailand untuk tujuan perubatan sebagai langkah mengekang kegiatan penyeludupan ketum.

Beliau berkata apabila cadangan untuk mengeksport daun ketum itu dibangkitkan ia bukan bermakna beliau mahu menyuruh rakyat di negeri ini menanam ketum dengan lebih banyak sebaliknya hanya mahu menyelesaikan isu penyeludupan. 

“Ketum ini memang sudah sedia ada dan jumlahnya pun sedia banyak. Apabila bercakap mengenai mahu eskport ketum ini, bukan bermaksud saya suruh rakyat Kedah teroka tanah baharu dan tanam pokok itu, kita cuma mahu selesaikan isu penyeludupan sahaja.

“Terdapat juga dakwaan berlaku penanaman ketum secara besar-besaran di kawasan tertentu tetapi ia bukan perkara baharu. Memang tidak salah hendak tanam ketum tetapi ia jadi kesalahan bila petik ketum itu, jadi nasihat saya kepada rakyat Kedah tidak perlulah tanam sebab sudah banyak,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.